Monday, December 29, 2008
Kepuasan Dalam Sajak
Penulis mula menceburi bidang kepenyairan semenjak berada di Tingkatan 4 di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban. Minat penulis pada sajak dan puisi bermula semasa penulis berada di Tingkatan 2 lagi di sekolah yang sama. Kekaguman pada keindahan sajak dan puisi mula timbul semasa penulis menatap puisi2 dalam antologi 'Balada Hilang Peta' oleh SN A.Samad Said dan antologi 'Akrab' oleh Lim Swee Tin. Kekaguman penulis pada kehebatan Allahyarham Usman Awang timbul semasa penulis membaca puisi beliau 'Mata Ayah' yang terdapat dalam antologi KOMSAS.
Sajak yang cemerlang ialah sajak yang mampu memperlihatkan kemahiran seseorang penyair memilih diksi yang tepat, bermain dengan rima dan ritma seterusnya menerapkan nilai dan pengajaran untuk dihayati oleh para pembaca. Oleh itu, seni pertukangan sajak bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan kesabaran dan ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang bermutu. Tidak hairanlah seseorang penyair akan berasa gembira dan puas apabila sajak yang dihasilkan dapat ditatap dan dihayati oleh para pembaca. Kepuasan inilah yang seterusnya akan mendorong seseorang penyair untuk terus berkarya di samping berusaha meningkatkan mutu sesebuah karya yang dihasilkan.
Sunday, December 28, 2008
sajak
Asap dan debu di jalanan
deru kenderaan membingitkan
kota ini terlalu sibuk
saban waktu sesak menusuk
Senyum tangis warga kota
wajah-wajah insan
tabah dan cekal
tidak lagi gentar
pada jerih perih kehidupan
tidak lagi lemas
oleh arus kota perlumbaan
Meski sibuk mengejar kehidupan
wajah-wajah ini
masih sempat sujud dalam ketaatan
bertaut kasih Tuhan Ar-Rahman
memohon pedoman sepanjang perjalanan
syahdu dan mendamaikan
Kamilah wargamu yang tidak pernah lesu
dalam dakapan erat
kota yang akrab
Kuala Lumpur
kembara_1990
Dewan Siswa
Disember 2008
Saturday, November 15, 2008
Sewaktu ku masuki perkarangan
Dan taman, melati dan melur yang putih
Masih lembap
Sinar pagi yang lembut belum berdaya mengusir embun
Sepasang merbuk, entah tuah pada sisik kaki atau bunyi
Jinak mencari rezeki di atas rumput
Sesaat di situ, pada pagi itu, adalah rahsia keindahan
Daripada setahun pergelutan harian
Apa ertinya pagi, apa ertinya embun, apa ertinya daun,
Apa ertinya sinar matahari, apa ertinya sepasang merbuk ,
Di dalam hidup yang lembut
Kita telah kehilangan segalanya
Dalam serangan kebendaan yang bertubi-tubi
Kecuali mimpi-mimpi yang jauh.
Baha Zain
Mei 1994
Saturday, August 23, 2008
Erti Syukur
'Dan jika kamu menghitung nikmat2 Allah, sudah pasti kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu terlalu zalim dan ingkar.'
Pernah pada suatu ketika pada zaman tabi'in, seorang lelaki telah pergi bertemu dengan seorang ahli sufi dalam keadaan marah. Sesampainya di rumah ahli sufi tersebut, beliau terus berkata, 'Ya sheikh , aku sudah tidak tahan lagi dengan ujian ini. Aku seorang yang miskin dan susah tetapi aku tidak pernah meninggalkan solat dan selalu berdoa semoga Allah meluaskan rezekiku namun sehingga kini aku masih begini ; miskin dan melarat. Aku tidak percaya bahawa Allah itu bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim ! . Bagaimana pandangan tuan?' ,tanya lelaki tersebut. Sambil tersenyum , ahli sufi tadi menjawab dengan penuh hikmah, 'Wahai saudaraku, jika sifat2 Allah ; Ar-Rahman dan Ar-Rahim itu tidak dapat menumbuhkan keyakinanmu terhadap sifat-Nya yang pengasih dan pemurah, maka kenanglah kembali saat engkau dilahirkan ke dunia ini sehingga sekarang ; adakah Dia pernah terlupa untuk memberimu makan dan minum dan adakah pernah Dia mengazabmu lantaran dosa2mu yang kecil mahupun yang besar? . Sesungguhnya terlalu besar sifat pengasih dan pemurah Allah kepadamu dan kepadaku ; lantas saudaraku renungkanlah firman Allah :
'Tidakkah kamu melihat manusia yang telah Kami ciptakan mereka daripada nutfah maka tiba-tiba mereka menjadi penentang yang nyata?'
Friday, August 22, 2008
Merdeka
(sambungan)
Penjual Air Batu |
Pelan-pelan di pinggir jalan kota, Undang-undang ialah suatu kekuasaan, Anak-anak di bawah kolong, perutnya kosong, (Sampai gelap merangkak menghampiri, Tapi berapa kali tangkapan terjadi, Bilakah ruang keadilan memberi isi, |
(sambungan)
Friday, August 8, 2008
sebuah nasyid dari kumpulan Saujana utk renungan bersama
Lihat dedaunan kekeringan jua
Gugur dibawa sang bayu
Layu tak berguna
Jiwa manusia di arus usianya
Kesalan tiada makna
Seandai tiba masa
Putaran roda kehidupan
Penuh warna-warna kesamaran
Jika kabur di perjalanan
Sesat penghujungnya
Sedari masa berbeza
Berdetik usia kita
Janganlah terlena hingga ke akhirnya
Sujud pada Yang Satu
Teguh keyakinanmu
Lenturkan keimanan
Kasihmu kepada-Nya
Tuhan Yang Satu
Wednesday, August 6, 2008
Aspek-Aspek Yang Melemahkan Sajak
1. Imejan Bercampur
Masalah imejan bercampur sering dikaitkan dengan penyair-penyair muda yang baru hendak menceburkan diri ke dalam dunia kepenyairan. Mereka sering terperangkap dengan frasa atau citra yang digunakan sehingga maksud sesebuah sajak gagal disampaikan dengan berkesan. Untuk memudahkan pemahaman, saya sertakan beberapa contoh :
dalam arus kehidupan
terik kurasakan
panas dan kehausan
Dalam sajak di atas , penyair telah mengalami masalah imejan bercampur apabila citra 'arus' dikaitkan dengan 'terik' dan 'panas'. Penyair tidak menyedari bahawa 'arus' sememangnya tiada kena mengena langsung dengan 'terik' dan 'panas'. Jika ditanya kembali adakah 'arus' boleh menyebabkan 'kepanasan' dan 'keterikan'? Jawapannya sudah pasti tidak. Sekarang mari kita lihat contoh yang diambil daripada sajak 'Kuala Lumpur' karya saya sendiri :
terus lemas dan hanyut mereka
dalam arus kota pancaroba
yang kian deras
menghakis kemanusiaan
membunuh persaudaraan
Dalam sajak di atas, penyair telah mengemukakan tema tentang kehidupan di kota raya Kuala Lumpur yang serba pantas sehingga nilai-nilai kemanusiaan dan persaudaraan terhakis. Penyair telah menggunakan citra 'arus' dengan sifatnya yang 'deras' yang mampu 'menghakis' dan 'membunuh'. Melalui pengalaman dan kemahiran , penyair telah dapat mengelakkan imejan bercampur lalu maksud sajak berjaya disampaikan dengan berkesan.
Tuesday, August 5, 2008
percubaan pertama (sajakku tersiar dalam Dewan Siswa)
Kuala Lumpur
Kota kepura-puraan
Kota persengketaan
Kota keterlanjuran
Di sini
Di kota perlumbaan ini
Saban waktu warganya
Dilelahkan oleh kesibukan sendiri
Mengejar kehidupan
Dari pagi ke dinihari
Terus lemas dan hanyut mereka
Dalam arus kota pancaroba
Yang kian deras
Menghakis kemanusiaan
Membunuh persaudaraan
kembara_1990
Dewan Siswa
Oktober 2006
Saturday, August 2, 2008
puisi utk remaja
Turun ke sungai waktu
rindu dan pengalaman
tertunda ke hilir
mimpi dan angan
mudik ke hulu,
di tebing keremajaan ini
aku sudah melewati
pangkalan demi pangkalan
sesekali
persinggahan ini
terasa semakin mengalah
pada arus yang menerjah
dan perjalanan pun
akan menjadi lebih sukar
dan payah.
Awang Abdullah
puisi sempena ulang tahun hari jadi ke-18 (8 Ogos 2008)
(i)
Pada waktu-waktunya
kita tidak pernah mengerti
pada lilin yang menyala
dengan hayat
dengan budi.
(ii)
Kadang-kadang
kita tidak pernah sedar
sewaktu berada di taman maha luas
dengan kembang seribu warna
bahawa kita sering berjalan
ke pintu nostalgia
yang nanti akan melontarkan kita
dengan kerasnya
ke hari silam yang tak terjangkau.
(iii)
Akhirnya kita pun tahu
bila sesekali
ada percikan ombak jatuh di laman
bahawa inilah petanda
kita akan dewasa.
Awang Abdullah
puisi buat guru2 yg byk berjasa
Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu berbuah hikmah; ia renjis embun pada tanah bakat, suara ihsan ketika manusia kalah, sepi yang syahdu dalam dunia resah.
Guru - atap ganti ketika pondok bocor, kitab sejarah dalam bilik darjah, senyum penyembuh bagi wabak sengsara, ia - sungai rangsang sentiasa tenang, menghantar bahtera ke segara dharma, memesan angin menghikmahkannya.
Guru adalah penelaah yang tekun, mewariskan dunia sebagai kutubkhanah, menyediakan kutubkhanah sebagai dunia, ia mengemudi biduk lalu, melepaskannya atas lambungan laut, merangsang manusia menyelami rahsia khazanahnya.
Guru - minda segar dan kukuh akar, menghidupkan batin yang bersih di daerah dunia cemar kasih, dan pada ketika tak tersangkakan, walau diambilnya kembali semua buku, sempat ditinggalkannya asas ilmu.
Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang takwa, obor hemah kehidupan bangsa.
A. Samad Said
2 April 1988