Wednesday, August 6, 2008

Aspek-Aspek Yang Melemahkan Sajak

Dalam dunia kepenyairan, penyair (penulis sajak) perlu mengetahui beberapa perkara atau aspek yang dapat menjatuhkan kualiti sesebuah karya sastera. Penyair perlu mengkaji , meneliti dan mempelajari teknik-teknik untuk menghasilkan sebuah karya sastera yang bermutu untuk ditatap. Antara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam penulisan sajak atau puisi ialah :


1. Imejan Bercampur

Masalah imejan bercampur sering dikaitkan dengan penyair-penyair muda yang baru hendak menceburkan diri ke dalam dunia kepenyairan. Mereka sering terperangkap dengan frasa atau citra yang digunakan sehingga maksud sesebuah sajak gagal disampaikan dengan berkesan. Untuk memudahkan pemahaman, saya sertakan beberapa contoh :

dalam arus kehidupan
terik kurasakan
panas dan kehausan

Dalam sajak di atas , penyair telah mengalami masalah imejan bercampur apabila citra 'arus' dikaitkan dengan 'terik' dan 'panas'. Penyair tidak menyedari bahawa 'arus' sememangnya tiada kena mengena langsung dengan 'terik' dan 'panas'. Jika ditanya kembali adakah 'arus' boleh menyebabkan 'kepanasan' dan 'keterikan'? Jawapannya sudah pasti tidak. Sekarang mari kita lihat contoh yang diambil daripada sajak 'Kuala Lumpur' karya saya sendiri :

terus lemas dan hanyut mereka
dalam arus kota pancaroba
yang kian deras
menghakis kemanusiaan
membunuh persaudaraan

Dalam sajak di atas, penyair telah mengemukakan tema tentang kehidupan di kota raya Kuala Lumpur yang serba pantas sehingga nilai-nilai kemanusiaan dan persaudaraan terhakis. Penyair telah menggunakan citra 'arus' dengan sifatnya yang 'deras' yang mampu 'menghakis' dan 'membunuh'. Melalui pengalaman dan kemahiran , penyair telah dapat mengelakkan imejan bercampur lalu maksud sajak berjaya disampaikan dengan berkesan.




No comments: