Sunday, April 12, 2009

sajak

Puas-Puas

Puas-puas bercakap
hati pun tergerak
untuk memerhatikan sikap
yang memihak

Ke mana perkara akan dibawa
soal manusia soal dunia

Puas-puas berfikir
begini jadinya
untuk bermenung menaksir
setiap yang terhasil:
masih tetap tertangkap
nada nafas yang tercungap.

Kemanusiaan, keduniaan
menjadi hukum percaturan;
rundingan dan kekuasaan
melihat berat pada kepalsuan.

Masuri S.N
Dewan Sastera
April 1990

Saturday, January 31, 2009

sajak

Pertemuan

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru

Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu


T. Alias Taib
Kuala Terengganu
1974

Monday, December 29, 2008

Kepuasan Dalam Sajak

Penyair merupakan golongan yang berupaya menyampaikan ; mengungkapkan kata2 mengenai situasi yang berlaku di sekeliling mereka secara berseni. Mereka mampu meruntun perasaan para pembaca dengan penggunaan bahasa yang indah dan ketelitian dalam pemilihan tema sesebuah puisi.

Penulis mula menceburi bidang kepenyairan semenjak berada di Tingkatan 4 di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban. Minat penulis pada sajak dan puisi bermula semasa penulis berada di Tingkatan 2 lagi di sekolah yang sama. Kekaguman pada keindahan sajak dan puisi mula timbul semasa penulis menatap puisi2 dalam antologi 'Balada Hilang Peta' oleh SN A.Samad Said dan antologi 'Akrab' oleh Lim Swee Tin. Kekaguman penulis pada kehebatan Allahyarham Usman Awang timbul semasa penulis membaca puisi beliau 'Mata Ayah' yang terdapat dalam antologi KOMSAS.

Sajak yang cemerlang ialah sajak yang mampu memperlihatkan kemahiran seseorang penyair memilih diksi yang tepat, bermain dengan rima dan ritma seterusnya menerapkan nilai dan pengajaran untuk dihayati oleh para pembaca. Oleh itu, seni pertukangan sajak bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan kesabaran dan ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang bermutu. Tidak hairanlah seseorang penyair akan berasa gembira dan puas apabila sajak yang dihasilkan dapat ditatap dan dihayati oleh para pembaca. Kepuasan inilah yang seterusnya akan mendorong seseorang penyair untuk terus berkarya di samping berusaha meningkatkan mutu sesebuah karya yang dihasilkan.

Sunday, December 28, 2008

sajak

KUALA LUMPUR

Asap dan debu di jalanan
deru kenderaan membingitkan
kota ini terlalu sibuk
saban waktu sesak menusuk

Senyum tangis warga kota
wajah-wajah insan
tabah dan cekal
tidak lagi gentar
pada jerih perih kehidupan
tidak lagi lemas
oleh arus kota perlumbaan

Meski sibuk mengejar kehidupan
wajah-wajah ini
masih sempat sujud dalam ketaatan
bertaut kasih Tuhan Ar-Rahman
memohon pedoman sepanjang perjalanan
syahdu dan mendamaikan

Kamilah wargamu yang tidak pernah lesu
dalam dakapan erat
kota yang akrab
Kuala Lumpur



kembara_1990
Dewan Siswa
Disember 2008

Saturday, November 15, 2008

Pagi

Sewaktu ku masuki perkarangan
Dan taman, melati dan melur yang putih
Masih lembap
Sinar pagi yang lembut belum berdaya mengusir embun
Sepasang merbuk, entah tuah pada sisik kaki atau bunyi
Jinak mencari rezeki di atas rumput
Sesaat di situ, pada pagi itu, adalah rahsia keindahan
Daripada setahun pergelutan harian
Apa ertinya pagi, apa ertinya embun, apa ertinya daun,
Apa ertinya sinar matahari, apa ertinya sepasang merbuk ,
Di dalam hidup yang lembut
Kita telah kehilangan segalanya
Dalam serangan kebendaan yang bertubi-tubi
Kecuali mimpi-mimpi yang jauh.


Baha Zain
Mei 1994

Saturday, August 23, 2008

Erti Syukur

Dalam meniti kehidupan ini, terlalu banyak kenangan lalu yang sering singgah di fikiran ini lalu penulis pun sering tersenyum sendiri kerana kenangan2 itu semuanya terlalu manis untuk diimbau. Pada 8 Ogos 2008 yang lalu, genaplah usia penulis 18 tahun. Apabila direnungkan kembali, terlalu banyak nikmat Allah yang telah dikecapi selama ini lantas penulis bertanya kepada diri : Sejauh dan sehebat manakah aku bersyukur? Terasa begitu insaf sekali tatkala mengenangkan firman Allah :

'Dan jika kamu menghitung nikmat2 Allah, sudah pasti kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu terlalu zalim dan ingkar.'

Pernah pada suatu ketika pada zaman tabi'in, seorang lelaki telah pergi bertemu dengan seorang ahli sufi dalam keadaan marah. Sesampainya di rumah ahli sufi tersebut, beliau terus berkata, 'Ya sheikh , aku sudah tidak tahan lagi dengan ujian ini. Aku seorang yang miskin dan susah tetapi aku tidak pernah meninggalkan solat dan selalu berdoa semoga Allah meluaskan rezekiku namun sehingga kini aku masih begini ; miskin dan melarat. Aku tidak percaya bahawa Allah itu bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim ! . Bagaimana pandangan tuan?' ,tanya lelaki tersebut. Sambil tersenyum , ahli sufi tadi menjawab dengan penuh hikmah, 'Wahai saudaraku, jika sifat2 Allah ; Ar-Rahman dan Ar-Rahim itu tidak dapat menumbuhkan keyakinanmu terhadap sifat-Nya yang pengasih dan pemurah, maka kenanglah kembali saat engkau dilahirkan ke dunia ini sehingga sekarang ; adakah Dia pernah terlupa untuk memberimu makan dan minum dan adakah pernah Dia mengazabmu lantaran dosa2mu yang kecil mahupun yang besar? . Sesungguhnya terlalu besar sifat pengasih dan pemurah Allah kepadamu dan kepadaku ; lantas saudaraku renungkanlah firman Allah :

'Tidakkah kamu melihat manusia yang telah Kami ciptakan mereka daripada nutfah maka tiba-tiba mereka menjadi penentang yang nyata?'

Friday, August 22, 2008

Merdeka


Pada 31 Ogos 2008 ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51. Sudah 51 tahun negara kita bebas daripada penjajahan namun kita sering membaca tulisan2 yang menyatakan kita masih belum merdeka malahan masih dijajah. Apakah benar kenyataan2 tersebut? Jika kita lihat kembali situasi masyarakat negara kita pada masa kini kita akan setidak-tidaknya berfikir sejenak tentang erti kemerdekaan sebenar. Apa yang telah terjadi kepada muda-mudi terutamanya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam? Jika kita tinggal di ibu kota, situasi ini akan lebih jelas lagi. Cuba luangkan masa untuk bersantai di Bukit Bintang , Ampang dan lokasi2 'panas' di sekitar Kuala Lumpur, pasti kita akan dapat melihat sendiri aksi2 remaja Melayu yang telah hilang segala nilai2 kehidupan . Tidak perlu saya nyatakan contoh2nya di sini kerana kita pun sudah cukup faham akan keadaan tersebut. Apakah tindakan kita seterusnya sebagai anggota masyarakat yang mempunyai mata dan telinga ? 

Firman Allah :
 'Dan akan lahir dari kalangan kamu keturunan-keturunan yang mencuaikan solat dan mengikut hawa nafsu dengan melakukan maksiat..'

Penulis bukanlah ingin berlagak alim di sini namun kita seharusnya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling . Semakin meningkat usia kita seharusnya semakin meningkat jugalah ilmu , iman dan amal kita. Sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51 ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan mendidik jiwa kita untuk beristiqamah di dalam ketaatan.  

Firman Allah :
  'Belum sampaikah waktu bagi orang-orang beriman untuk hati2 mereka khusyu' mengingati Allah dan mengikuti kebenaran yang diturunkan?'