Monday, December 29, 2008

Kepuasan Dalam Sajak

Penyair merupakan golongan yang berupaya menyampaikan ; mengungkapkan kata2 mengenai situasi yang berlaku di sekeliling mereka secara berseni. Mereka mampu meruntun perasaan para pembaca dengan penggunaan bahasa yang indah dan ketelitian dalam pemilihan tema sesebuah puisi.

Penulis mula menceburi bidang kepenyairan semenjak berada di Tingkatan 4 di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban. Minat penulis pada sajak dan puisi bermula semasa penulis berada di Tingkatan 2 lagi di sekolah yang sama. Kekaguman pada keindahan sajak dan puisi mula timbul semasa penulis menatap puisi2 dalam antologi 'Balada Hilang Peta' oleh SN A.Samad Said dan antologi 'Akrab' oleh Lim Swee Tin. Kekaguman penulis pada kehebatan Allahyarham Usman Awang timbul semasa penulis membaca puisi beliau 'Mata Ayah' yang terdapat dalam antologi KOMSAS.

Sajak yang cemerlang ialah sajak yang mampu memperlihatkan kemahiran seseorang penyair memilih diksi yang tepat, bermain dengan rima dan ritma seterusnya menerapkan nilai dan pengajaran untuk dihayati oleh para pembaca. Oleh itu, seni pertukangan sajak bukanlah sesuatu yang mudah malah memerlukan kesabaran dan ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang bermutu. Tidak hairanlah seseorang penyair akan berasa gembira dan puas apabila sajak yang dihasilkan dapat ditatap dan dihayati oleh para pembaca. Kepuasan inilah yang seterusnya akan mendorong seseorang penyair untuk terus berkarya di samping berusaha meningkatkan mutu sesebuah karya yang dihasilkan.

1 comment:

Wak Dol said...

Dalam perkembangan dunia satera dan perpuisian yang tergolong dalam aliran ini, dahulu ada pula suatu falsafah 'seni untuk seni'. Sesuatu karya yang dihasilkan itu bukanlah patut diambil kira apa akibatnya ataupun apa respons dan reaksi yang timbul daripadanya. Segalanya hanyalah untuk matlamat kesenian. Adapun suatu falsafah yang lain, 'seni untuk masyarakat' yang kiranya mengambil pusing segala apa yang berlaku dalam persekitaran dan tiada pula karya itu timbul melainkan untuk menjadi lidah masyarakat, memperjuangkan kebajikan mereka. Aku pernah membaca sebuah buku hasil karya Shahnon Ahmad bertajuk 'Kesusasteraan dan Etika Islam'. Antara suatu perkara yang ditekankan adalah konsep 'sastera demi Tuhan berhikmah untuk manusia'. Sastera yang vertikal niatnya, horizontal kesannya. Apapun yang menjadi alasan buat seseorang itu menghasilkan sesebuah sajak, kepuasan itu hanya akan timbul apabila ia telah mencapai apa yang benar-benar dimahukan. (Lalu patut juga dikatakan aku tak pernah puas berpuisi). Wallahu a'lamu bis-sawab.